Pada setiap 14 Februari, ramai di antara kita yang menyambut Hari Kekasih. Malah budaya ini telah sebati dalam kalangan masyarakat kita khasnya golongan remaja. Perayaan ini disambut dengan gembira bagi pasangan yang sedang hangat bercinta tanpa mengetahui tentang sejarah hitam di sebaliknya. Valentine Day adalah suatu perayaan yang berdasarkan kepada pesta jamuan ‘supercalis‘ bangsa Romawi kuno di mana setelah mereka masuk Agama Nasrani (kristian), maka berubah menjadi acara keagamaan yang dikaitkan dengan kematian St. Valentine.
Orang-orang Kristian menganggap bahawa Valentine merupakan seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Dia disamakan dengan Jesus yang kononnya mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Valentine bagi penganut agama Kristian adalah lambang kasih sayang sejati diantara seorang hamba dengan tuhannya dan sesama manusia. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertulis From your Valentine.
Sejarah asal Hari Kekasih sudah jelas menunjukkan bahawa ia tidak sesuai untuk disambut oleh masyarakat Melayu kita khususnya yang beragama Islam. Namun begitu, dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini tanpa segan silu menyambut Hari Kekasih. Sedangkan sambutan ini tidak sepatutnya diraikan walaupun dengan insan yang tersayang. Keghairahan golongan remaja menyambut Hari Kekasih ini perlulah dikawal supaya mereka tidak terus hanyut. Tambahan pula, sambutan ini bertentangan dengan budaya Melayu. Oleh itu, kita hendaklah menjauhkan diri daripada sambutan-sambutan seperti ini.
No comments:
Post a Comment