create your own banner at mybannermaker.com!

Friday 18 March 2011

SATU EJAAN TAPI BANYAK MAKNANYA

dok rok cetong la mung ni......

Ayat di atas sering kali diucapkan oleh masyarakat yang tinggal di Terengganu. Malahan, perkataan rok hanya boleh difahami oleh masyarakat yang tinggal di Pantai Timur sahaja. Dok rok dikenali di Terengganu dengan maksud  tidak gagah ataupun tidak boleh diharap. Dok ialah sama dengan tidak. Yang ingin saya tekankan di sini ialah perkataan rok. Saya telah merujuk Kamus Dewan bagi mendapatkan makna sebenar perkataan ini.

Mengikut Kamus Dewan, rok memberi maksud kepada empat perkara. Hal ini jelas menunjukkan bahawa perkataan ini bukan hanya digunakan di Terengganu tetapi perkataan ini tidak diguna pakai oleh masyarakat di negeri lain. Perkara ini berlaku mugkin disebabkan mereka tidak biasa menggunakan perkataan ini. Padahal perkataan ini mempunyai banyak makna. Antara maknanya ialah :

1)  Muzik yang mempunyai rentak yang kuat.
2)  Baju perempuan mengikut gaya barat seperti gaun.
3)  Belukar.
4)  Larat atau upaya.

BAHASA MELAYU DAN JATI DIRI GENERASI MUDA

Dewasa ini, golongan remaja lebih suka mendengar lagu bebrbahasa Inggeris yang dinyanyikan Lady Gaga berbanding dengan lagu-lagu berbahasa Melayu. Contoh terdekat ialah rakan sebilik saya. Hampir setiap hari dia mendengar lagu-lagu Inggeris.
Saya : Oit, ko tak boring ke hr2 duk dngar lagu orang puteh?
Kawan : Ish ko ni, lagu ni la best…lagu melayu ketinggalan zaman la, ni dah masuk zaman teknologi laa…
Inilah salah satu contoh bahawa masyarakat Melayu kita khususnya golongan remaja telah menganggap penggunaan bahas Inggeris sangat penting dalam dunia tanpa sempadan yang dilengkapi dengan kemajuan teknologi yang pesat. Hal ini sebenarnya tidak melambangkan mereka sebagai orang Malaysia terutamanya berketurunan Melayu. Sepatutnya kita sebagai golongan remaja perlulah sedar akan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita. Sekiranya terdapat ramai individu yang bersikap seperti ini, kemungkinan suatu hari nanti bahasa Melayu tidak akan digunakan lagi.

ISTERI, BINI ATAU ORANG RUMAH

Si A: Miro, lamo kawe tak tngok mu….nikoh doh ko?
Si B: aku dah lama kawen, isteri aku tengah pregnant sekarang ni.
Si A : owh…hebat orang rumoh mu…tahniah,
Perbualan tersebut sempat saya dengar ketika sedang menunggu bas untuk balik ke Johor. Pada waktu itu, saya dan Zubaida sedang duduk di ruangan menunggu. Hakikatnya, inilah kali pertama saya mendengar perkataan orang rumah. Pada hari ini juga saya mengetahui satu perkataan baru itu di negeri Kelantan, isteri dipanggil sebagai orang rumah. Manakala di Terengganu pula isteri dipanggil sebagai bini. Itulah maklumat yang saya perolehi daripada Zubaida. Contoh :

Panggilan untuk isteri
Negeri
Panggilan
Kelantan
Orang rumah
Johor
Isteri
Terengganu
Bini


Thursday 17 March 2011

HARI KEKASIH

Pada setiap 14 Februari, ramai di antara kita yang menyambut Hari Kekasih. Malah budaya ini telah sebati dalam kalangan masyarakat kita khasnya golongan remaja. Perayaan ini disambut dengan gembira bagi pasangan yang sedang hangat bercinta tanpa mengetahui tentang sejarah hitam di sebaliknya. Valentine Day adalah suatu perayaan yang berdasarkan kepada pesta jamuan ‘supercalis‘ bangsa Romawi kuno di mana setelah mereka masuk Agama Nasrani (kristian), maka berubah menjadi acara keagamaan yang dikaitkan dengan kematian St. Valentine.

Orang-orang Kristian menganggap bahawa Valentine merupakan seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Dia disamakan dengan Jesus yang kononnya mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Valentine bagi penganut agama Kristian adalah lambang kasih sayang sejati diantara seorang hamba dengan tuhannya dan sesama manusia. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertulis From your Valentine.
Sejarah asal Hari Kekasih sudah jelas menunjukkan bahawa ia tidak sesuai untuk disambut oleh masyarakat Melayu kita khususnya yang beragama Islam. Namun begitu, dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini tanpa segan silu menyambut Hari Kekasih. Sedangkan sambutan ini tidak sepatutnya diraikan walaupun dengan insan yang tersayang. Keghairahan golongan remaja menyambut Hari Kekasih ini perlulah dikawal supaya mereka tidak terus hanyut. Tambahan pula, sambutan ini bertentangan dengan budaya Melayu. Oleh itu, kita hendaklah menjauhkan diri daripada sambutan-sambutan seperti ini.


GERAK

Saya telah berjanji dengan Aida untuk ke kampus pada petang semalam. Sewaktu ke rumahnya, saya singgah sebentar di biliknya sementara menunggu dia untuk bersiap. Tidak lama selepas itu, saya mendengar dia menjerit ‘jah, gerak’. Saya terasa pelik apabila dia menyuruh saya gerak. Lalu saya pun bertanya, “ko suruh aku kejutkan siapa?”.
Saya keluar dari biliknya sambil mengajukan soalan tersebut. Rupa-rupanya dia maksudkan gerak iaitu mulakan perjalanan. Jika di tempat saya, perkataan gerak merujuk kepada mengejutkan seseorang daripada tidur. Di sini, saya telah mempelajari satu perkara baharu iaitu perbezaan penggunaan gerak bagi negeri Johor dan Terengganu.

KEPERCAYAAN MASYARAKAT MELAYU

Situasi seterusnya berlaku di rumah saya sendiri iaitu di Terengganu. Kejadian ini terjadi kepada adik perempuan saya iaitu Faiziah. Setiap hari, kami akan membantu emak memasak di dapur. Oleh kerana adik saya ini suka menyanyi maka dia akan menyanyi tidak kira di mana-mana tempat termasuklah di dapur. Suatu hari, Faiziah menyanyi di dapur dan telah ditegur oleh emak. Kata emak, “seseorang anak gadis yang suka bersiul dan menyanyi di dapur dikatakan akan mendapat suami tua”. Faiziah terus senyap apabila ditegur sedemikian oleh emak.

Jika kepercayaan ini dianggap benar maka adalah tidak mustahil setiap golongan perempuan yang masih belum berkahwin tidak akan sesekali menyanyi di dapur. Hal ini adalah kerana, anak gadis tentunya tidak mahu bersuami dengan seorang lelaki yang tua. Situasi seperti ini menunjukkan bahawa bangsa Melayu dahulu banyak meninggalkan kepercayaan yang mana mengandungi pelbagai pantang larang, tunjuk ajar yang halus dan nasihat yang berguna kepada anak cucunya yang masih mentah dalam kehidupan harian mereka. Oleh itu, setiap kepercayaan yang diamalkan sebenarnya mempunyai tujuannya yang tersendiri.

PENGARUH FILEM

Antara cerita yang meninggalkan kesan kepada kebanyakan penonton ialah cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah. Cerita ini mempunyai pengaruh yang kuat kepada sesiapa sahaja yang pernah menontonnya. Hal ini adalah kerana, saya sendiri pernah berada dalam situasi tersebut. Boleh dilkatakan hampir setiap hari ada sahaja ayat- ayat daripada cerita ini diungkapkan oleh individu di sekeliling saya. Malah, sebut sahaja Kak Limah, pasti ramai yang mengetahui tentang cerita ini yang dikeluarkan pada tahun 2010. Cerita ini merupakan sambungan daripada cerita zombie Kampung Pisang. Latar belakang cerita yang sangat lawak mungkin menjadi salah satu faktor sesetengah ayat dalam filem ini menjadi ikutan. Contoh ayat tersebut ialah :
       Ce citer…ce citer…ce citer
       Kita bakar je ( dalam dialek perak )
Kejadian ini menunjukkan bahawa pengaruh filem begitu kuat dalam masyarakat kita. Contoh yang terdekat ialah seperti di atas. Sejak cerita ini dikeluarkan, ayat-ayat di atas telah menjadi satu trend (gaya) terutamanya kepada golongan remaja dan kanak-kanak. Oleh itu, penerbit-penerbit filem perlulah memastikan setiap cerita yang hendak diterbitkan mesti ditapis terlebih dahulu. Hal ini adalah kerana, sekiranya cerita tersebut mengandungi unsur-unsur yang tidak baik dikhuatiri akan menjadi ikutan dalam kalangan masyarakat kita.