create your own banner at mybannermaker.com!

Monday 28 February 2011

PERLU KE MARAH?

Situasi ini berlaku sewaktu saya dan dua orang rakan dalam perjalanan balik dari Johor ke Tanjung Malim. Semasa bas berhenti untuk mengambil penumpang lain di Perhentian Bukit Jalil, salah seorang daripada kawan saya telah meminta izin daripada pak cik pemandu bas. Namun, pak cik bas tersebut seperti tidak menyenangi permintaan kawan saya ini.

      kawan : pak cik, nak pergi tandas sekejap
      pak cik : cepat cikit...
      kawan : baik....( lebih kurang sepuluh minit)
      pak cik : mana kawan awak ni ( bercakap dengan saya), masa ni la nak pergi
                    tandas....tadi tak nak pergi...col kawan awak tuuu cpat,&*^%$

Tindakan pak cik ini marah-marah adalah sangat tidak wajar. Hal ini adalah kerana kami sebagai penumpang ada hak untuk pergi ke tandas. Lagipun kawan saya pergi ketika bas tersebut berhenti. Pada pendapat saya, golongan tua sekarang ada juga yang tidak bertimbang rasa. Malah mereka juga tidak patut mengeluarkan kata-kata yang tidak elok seperti kejadian tadi.
  

Tuesday 22 February 2011

BUDAYA MEMBERI SALAM

Situasi pada kali ini berlaku di sekolah. Pada hujung minggu yang lepas, saya telah menemani seorang kawan ke sekolahnya untuk menguruskan perkara yang berkaitan dengan makroteaching. Kami ke sekolah tersebut bertujuan untuk menemui pengetua sekolah terlebih dahulu. Ketika memasuki kawasan sekolah tersebut, kemi terus menuju ke arah pwjabat. Sewaktu dalam perjalanan, kami telah disapa oleh beberapa orang pelajar.

     pelajar 1: assalamualaikum cikgu...
     pelajar 2: selamat pagi cikgu...(pelajar India)

Pada mulanya saya agak terkejut kerana kami hanya berpakaian biasa dan langsung tidak seperti seorang guru. Walaupun kami bakal menjadi seorang guru namun tidak disangka telah disapa sebagai seorang guru oleh pelajar-pelajar tersebut. Satu pengalaman baru yang telah saya perolehi. Perasaan pada ketika itu sangat gembira tatkala ada pelajar yang memberi salam. Situasi ini membuatkan saya teringat kembali saat bergelar pelajar sekolah dahulu. Kami telah digalakkan untuk mengamalkan budaya memberi salam kepada para guru dan kakitangan yang berada di sekolah. Malah, budaya ini masih diamalkan sehingga sekarang. Budaya memberi salam amatla wajar diteruskan kerana ia merupakan satu amalan yang baik. Tambahan pula, sekiranya budaya ini diterapkan di sekolah, adalah tidak mustahil budaya ini akan turut dipraktikkan di luar kawasan sekolah sekaligus mengangkat martabat kita sebagai warga yang berbudi bahasa.

Monday 21 February 2011

KEPELBAGAIAN DIALEK

Situasi ini berlaku ketika saya berada di dalam lif. Ketika berada di dalam lif tersebut, seorang pelajar meminta pertolongan daripada seorang pelajar yang turut sama berada di lif ketika itu. Situasi ini adalah seperti:

      pelajar 1 : tolong tekangkang (tekankan) aras 3...
      pelajar 2 : hah? awak suruh siapa kangkang?(dengan nada terkejut)
      pelajar 1 : menggunakan tangannya untuk memberi isyarat supaya pelajar tersebut menekan aras 3.

Salah faham ini berlaku disebabkan penggunaan dialek yang berbeza mengikut negeri masing-masing. Berdasarkan situasi di atas, pelajar 1 merupakan pelajar daripada Terengganu kerana penggunaan huruf G yang agak menonjol dan pekat manakala pelajar 2 kemungkinan berasal daripada Johor atau yang sewaktu dengannya. Kepelbagaian dialek ini sebenarnya memberikan satu keistimewaan kepada kita kerana negara mempunyai lebih daripada satu bahasa. Oleh itu, menjadi satu bonus sekiranya kita mempelajari dialek-dialek daripada negeri yang lain. Tambahan pula, secara tidak langsung situasi seperti di atas dapat dielakkan.

KECELARUAN PENGGUNAAN HUKUM DM

Kejadian ini berlaku sewaktu saya sedang melayari internet kira-kira pukul 12.00 tengah malam semalam. sedang asyik melayari laman sosial facebook, saya telah ditanya satu soalan oleh seorang teman dari Universiti Malaya.

     Gee : salam jah, nk tnya bleh?
     Aku : salam, bleh je...
     Gee : antara PENDINGIN HAWA dan PENGHAWA DINGIN, mana yang betul?

Situasi seperti ini sering kali berlaku dalam kehidupan masyarakat kita khususnya golongan pelajar. Tidak dapat dinafikan kadan-kadang kita menjadi keliru terhadap penggunaan hukum DM. Sesetengah masyarakat terkeliru dan ramai yang menggunakan penghawa dingin. Sedangkan perkataan yang betul adalah pendingin hawa. Hal ini adalah kerana, pendingin hawa merupakan alat yang menyebabkan udara menjadi dingin. Tambahan pula, mengikut hukum DM serta pakatan baru ia juga boleh dipanggil sebagai penyaman udara.


AMALAN "MENJAGA TEPI KAIN"

Jika dahulu, masyarakat kita sangat mementingkan amalan "menjaga tepi kain" orang lain. Malahan amalan ini sangat terkenal dalam masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu iaitu dengan niat yang baik. Contohnya, kalau orang tua pada pada masa dahulu melihat perangai anak-anak muda yang buruk walaupun bukan anaknya namun dia akan tetap menegur atau menasihati anak muda tersebut agar tidak berperangai sedemikian. Namun dalam masyarakat pada hari ini, kita sering kali diingatkan supaya tidak menjaga tepi kain orang lain. namun pada pandangan saya, sikap sebegini iaitu tidak menjaga tepi kain orang lain ini adah satu sikap yang kurang elok. Hal ini adalah kerana, banyak perkara negatif boleh berlaku. Antaranya ialah terdapat jiran yang tidak mengenali jiran sebelahnya kerana sikap tidak mengambil tahu yang diamalkannya. kita seharusnya memupuk sikap hidup bermasyarakat dan prihatin sesama sendiri. malah, sikap mengambil tahu dan menjaga tepi kain orang  untuk tujuan yang baik boleh diamalkan. Oleh itu, sesekali perlulah kita meneliti dahulu amalan yang diamalkan oleh masyarakat terdahulu kerana kadang-kadang semua yang dilakukan adalah bertujuan baik.

KENAPA TIDAK SEPERTI MEREKA?

Malaysia adalah sebuah negara yang semakin dikenali di seluruh dunia. Namun kekurangan kita sebagai sebuah negara yang semakin maju ialah kita membanggakan budaya luar. Antara yang jelas untuk kita lihat ialah penggunaan bahasa kebangsaan kita iaitu bahasa Melayu. Kenapa kita yang mesti menggunakan bahasa luar tatkala terdapat pelancong atau pengunjung dari luar negara? Kenapa tidak mereka yang menggunakan bahasa kita walhal mereka yang masuk ke negara kita???. Sedangkan negara kita mempunyai bahasa yang tersendiri iaitu bahasa Melayu. Berbeza sekali jika dibandingkan dengan negara-negara luar seperti Jepun, China dan Korea.  Cara mereka melindungi dan memartabatkan bahasa negara mereka sememangnya perlu dicontohi oleh negara kita Malaysia. Sebagai contoh masyarakat cina tidak membenarkan bahasa asing mencemarkan bahasa mereka. Alangkah bagusnya apabila kita boleh melindungi bahasa kebangsaan kita seperti negara-negara tersebut.
Pada pandangan saya, kita sepatutnya tidak terlampau bagi muka kepada pendatang atau pelancong luar. Bukannya untuk memulau mereka tetapi untuk menunjukkan bahawa kita mempunyai bahasa sendiri. Sekiranya negara kita dapat mempertahankan penggunaan bahasa Melayu oleh semua pendatang atau pelancong, adalah tidak mustahil golongan ini akan mempelajari bahasa Melayu ketika berada di Malaysia. Oleh itu, kita dapat mengangkat bahasa kita di mata dunia dan secara tidak langsung mereka akan menghormati bahasa Melayu.

LUMRAH PELAJAR UNIVERSITI

Sudah menjadi kebiasaan bagi para pelajar universiti di negara kita menggunakan beberapa patah perkataan ketika membuat perbentangan di hadapan kelas. Antara perkataan yang telah menjadi kegemaran pelajar masa kini ialah OK, NEXT, SO dan banyak lagi. Suatu hari ketika para pelajar sedang membentangkan hasil kerja mereka di hadapan, saya telah mengambil beberapa responden sebagai bahan kajian. Saya telah memilih lima orang pelajar bagi melihat kekerapan mereka menyebut perkataan OK.

      pelajar 1: 37 kali
      pelajar 2: 18 kali
      pelajar 3: 2 kali
      pelajar 4: 4 kali
      pelajar 5: 20 kali

Sebutan OK ini berlaku dalam masa sepuluh minit dan jelas menunjukkan perbezaan antara kelima-lima orang pelajar tersebut. Pada pandangan saya, pelajar-pelajar ini tidak dapat lari daripada menggunakan perkataan OK ketika bercakap atau membentangkan hasil kerja mereka di kelas. Malahan, tidak ada perbezaan di antara pelajar kursus bahasa Melayu dengan pelajar daripada kursus-kursus lain. Jika dilihat, pelajar daripada kursus bahasa Melayu lebih mengetahui tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul namun mereka juga gagal untuk mengawal daripada menggunakan perkataan seperti di atas. Mereka tetap menggunakan perkataan tersebut walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Hasil pertanyaan saya terhadap lima orang pelajar ini memberikan jawapan bahawa mereka sudah terbiasa dan sukar dikawal.

PENEKANAN

Selaras dengan perkembangan dunia sekarang yang serba canggih, laman sosial merupakan saluran terpenting sebagai media perhubungan. Kebanyakan pengguna atau penutur natif menggunakan saluran internet untuk berhubung dan berkomunikasi. Antara perkara yang dapat ditemui apabila kita menggunakan laman sosial ialah penekan terhadap sesuatu perkataan turut ditekankan. Malahan, perkara sebegini telah menjadi lumrah dan turut dilaksanakan secara sengaja iaitu dengan menggunakan huruf besar atau melebihkan huruf tertentu pada perkataan yang ingin ditekankan. Contohnya:
1)      HONG KONG mmg cantik!!!
2)      Penat, memang penat!!!
3)      Cantiknyaaaaaaa…..
Penggunaan bahasa kebangsaan dalam laman sosial sememangnya telah menyimpang daripada penggunaan bahasa yang sempurna. Malahan tidak banyak pengguna laman sosial yang mengutamakan penggunaan bahasa Melayu yang baik terutamanya dari segi ejaan dan tatabahasa. Usaha memartabatkan dan memperbaiki  penggunaan bahasa Melayu yang betul dan baik melalui laman sosial adalah sangat sukar. Hal ini aladah sangat bergantung kepada kesedaran yang berada dalam  diri pengguna laman sosial  itu sendiri.
           

SINGKATAN ATAU KEPENDEKAN

Semasa saya membaca sebuah novel pada hujung minggu yang lepas, saya mendapati bahawa banyak singkatan atau kependekan yang digunakan dalam penulisan sesebuah novel. Pada awalnya saya tidak mengambil kisah tentang penggunaan singkatan tersebut. Namun, setelah hampir menghabiskan pembacaan tersebut saya dapati bahawa terlampau banyak singkatan yang telah digunakan. Hal ini telah menarik minat saya untuk berkongsi dengan rakan-rakan yang lain. Dalapm penulisan sesebuah novel, singkatan banyak digunakan untuk menggambarkan situasi apabila berlakunya sesuatu perbualan. Tidak dapat dinafikan bahawa hampir kesemua novel menggunakan singkatan ataupun kependekan. Antara perkataan yang selalu ditemui dalam sesebuah novel ialah seperti:
            Tuk : untuk
            Ni : ini
            Leh : boleh
            Dah : sudah
            Bg : bagi
Selain itu juga, singkatan dan kependekan turut digunakan dalam laman sosial. Antara faktor terjadinya perkara seperti ini ialah penekanan terhadap kepantasan menaip serta kebolehterimaan pengguna dalam komunikasi di mana bentuknya perlulah ringkas, santai serta mudah difahami.

Sunday 20 February 2011

BAHASA ROJAK

Ketika saya sedang melayari internet, saya mulai perasan bahawa dalam masyarakat kita pengguna bahasa Melayu sering kali menggunakan bahasa rojak dalam komunikasi harian. Mereka seperti sudah terbiasa dengan penggunaan bahasa sebegini. Seperti yang saya lihat dalam laman-laman sosial, pengguna biasanya turut menggunakan bahasa-bahasa lain selain bahasa Melayu seperti bahasa Arab, Inggeris, bahasa Cina dan sebagainya. Malahan, bahasa tersebut mula digunanakan dengan sewenang-wenangnya. Gejala sebegini telah dikenali sebagai bahasa rojak. Bahasa ini biasanya mengikut latar belakang si penutur tersebut. Sebagai contoh, bagi yang mempunyai latar belakang pendidikan agama yang kuat, perkataan yang biasa digunakan ialah anta, ana dan syukran. Manakala bahasa Inggeris pula adalah seperti you atau u (kamu/engkau) dan i (saya). Selain itu juga, ia juga dapat dilihat dalam penggunaan ayat. Contoh:

(penggunaan perkataan 'i' dan 'u')

Tidak dapat dinafikan, perkataan dan ayat-ayat sebegini telah biasa dalam kalangan masyarakat kita. Hal sebegini boleh dikatakan telah menjadi lumrah dalam masyarakat kita. Sekiranya hal ini berpanjangan, tidak mustahil generasi akan datang khasnya golongan kanak-kanak tidak tahu untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan baik. Hal ini adalah kerana, mereka telah terdedah dengan penggunaan bahasa rojak sejak kecil lagi. Oleh itu, semua pihak perlulah membuka mata dan mengelakkan daripada perkara ini terus berleluasa.

PENCANTUMAN BAHASA

Dewasa ini, kita tidak dapat lari daripada mendengar perbualan orang ramai sama ada sengaja ataupun secara tidak sengaja. Hal ini adalah kerana, kita hidup bermasyarakat dan semestinya perhubungan seseorang berlaku melalui komunikasi. Namun apa yang sangat mengecewakan pada hari ini ialah masyarakat kita tidak mengambil berat penggunaan Bahasa Melayu yang betul. Contohnya ialah berlakunya pencantuman dua jenis bahasa atau lebih. Hal ini biasanya digunakan dalam komunikasi tidak formal termasuklah untuk aktiviti harian seperti menerusi laman sosial. Cantuman dua jenis bahasa ini akhirnya akan "merosakkan bahasa" apabila lahir istilah dan ayat cacamarba. Antaranya:
     
           kang : nanti
           wokay : baiklah
           dier : dia
           korang : kamu
           tipon : telefon

Pada dasarnya, amalan penggunaan ayat dan istilah yang tidak gramatis ini telah mencabul kesucian Bahasa Melayu. Hal ini adalah kerana, terdapat banyak penyelewengan dalam hukum dan ketertiban tatabahasa. Perkara sebegini tidak patut dipandang ringan. Perkara ini penting kerana Bahasa Melayu perlulah dimartabatkan dan dimajukan. Oleh itu, penggunaan Bahasa Melayu yang betul adalah sangat digalakkan.

Thursday 17 February 2011

PENGGUNAAN BAHASA SLANGA OLEH GOLONGAN REMAJA

Bahasa slanga kebiasaannya digunakan oleh golongan remaja. Bahasa tersebut sangat rendah tarafnya daripada bahasa baku. Contoh bahasa slanga yang biasa digunakan oleh pengguna khususnya pengguna laman sosial adalah seperti :
      
       engkau - ko
       awek -   teman perempuan
       bro - golongan lelaki
       boring - bosan
       ngorat - memikat

Bahasa-bahasa sebegini juga merupakan bahasa yang biasa digunakan oleh kebanyakan golongan remaja dalam perbualan harian mereka. Perkara ini adalah sangat membimbangkan. Oleh itu, golongan remaja mestilah mengurangkan penggunaan bahasa slanga ini.

BAHASA LISAN KIAN MENULAR

Pada hari ini, penggunaan bahasa lisan sudah menjadi kebiasaan. Malahan, ia semakin menular dalam masyarakat kita khususnya dalam penggunaan harian. tambahan pula, dunia semakin maju dengan kepelbagaian teknologi dan semestinya semua pihak mengambil jalan mudah seperti tidak mengambil berat penggunaan Bahasa Melayu dengan baik. Sebagai contohnya, pengguna laman sosial seperti Frienster, Facebook dan sebagainya lebih gemar menggunakan bahasa lisan dalam perhubungan atau penulisan mereka. Contoh perkataan yang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan mereka ini adalah seperti:

         suke - suka
         ak/aq - aku
         ngko - engkau
         citer - cerita
         nape - kenapa

Penggunaan kata-kata seperti di atas tidak dapat dielakkan lagi daripada digunakan. Sekiranya perkara ini berterusan, lama-kelamaan sistem bahasa kita Khususnya Bahasa Melayu akan pupus. Penggunaan perkataan seperti ini mestilah dikurangkan untuk meningkatka penggunaan Bahasa Melayu yang sebenar. Oleh itu, semua pihak perlulah memainkan peranan bagi mengelakkan penggunaan bahasa lisan ini secara berterusan.

Saturday 5 February 2011

SABAR ITU PENTING

Sewaktu berada di kedah, ina (bukan nama sebenar) telah membawa saya bersiar-siar sekitar pekan Pendang dengan menaiki motosikal. Ini adalah kali kedua saya menjejakkan kaki di negeri Kedah. Ina telah membawa saya ke beberapa buah kedai untuk mengisi masa terluang kami. Apa yang paling menarik di tempat ina ialah keadaan sawah padi di sepanjang jalan. Sambil menaiki motosikal saya dapat mencuci mata dengan melihat permandangan yang menghijau di sepanjang jalan. Setelah penat, kami singgah sekejap di sebuah kedai makan untuk mengisi perut kami dengan sedikit makanan. Selepas itu, kami singgah pula di sebuah kedai untuk mencari barang yang diperlukan. Kami masuk ke kedai tersebut lebih kurang 5 minit sahaja kerana barang yang dikehendaki tiada. Kami letak motosikal betul-betul di hadapan kedai tersebut. Ketika kami hendak menaiki motosikal tersebut tiba-tiba:
    Wanita berkereta: pong…pong (hon kereta)
    Saya & ina: berpaling ke belakang…sebuah kereta sedang menunggu di seberang jalan..kami cepat-cepat                        memakai topi keledar

    Wanita berkereta: oiii(dengan kuat)…cepat la sikit, orang lain nak masuk pulak..
   
    Saya & ina : tersentak kerana disergah begitu….
Pertama kali saya berada dalam situasi sebegini. Terdetik di hati saya, wanita ini kelihatan seperti wanita berpelajaran tinggi tetapi kenapa tidak boleh bersabar sekejap. Ke mana hilangnya kesabaran wanita ini sebagai pengguna jalan raya? Sekiranya wanita ini berfikiran matang, dia tidak akan menjerit sebegitu terhadap kami. Sedangkan di sebelah tempat kami meletak motosikal terdapat satu lagi tempat letak kereta. Bagi saya, boleh saja dia meletak keretanya di sana atau cari sahaja tempat kosong yang lain. Kenapa wanita ini mesti menjerit sebegitu?Adakah hanya kerana dia berkereta manakala kami hanya menaiki motosikal? Semoga wanita ini sedar akan keangkuhannya.

ADAB SEMASA MAKAN

Pada minggu lepas sebelum saya berangkat ke pulang ke kedah, seorang kawan telah meminta saya untuk menemaninya makan di sebuah kedai. Kami keluar makan kira-kira pada pukul 8.00 malam. Kami telah memilih untuk duduk di bahagian tepi kerana keadaan di situ lebih senang untuk berbual tanpa mengganggu orang lain. Pada malam itu, keadaan kedai agak tenang disebabkan ramai pelajar sudah pulang ke kampung masing-masing. Sambil menunggu makanan yang diminta, kami berbual tentang beberapa perkara. Namun, sedang asyik kami bersembang tiba-tiba ketawa yang agak kuat telah memecah kesunyian di kedai makan tersebut. Situasi yang dapat saya gambarkan adalah seperti:
                        Pelajar 1: kahkahkah
                        Pelajar 2: oit, agak-agak laaa….
                        Pelajar 1: masih meneruskan ketawanya tanpa menghiraukan
                                       teguran kawan-kawannya
                        Pelajar 2,3,4: orang tengok kita tuuu…dahla tuuu,

Rupa-rupanya kedudukan mereka tidak jauh daripada tempat yang kami sedang duduk. Bagi pendapat saya, ketawa yang agak kuat dan mengganggu orang lain adalah tidak sepatutnya. Tambahan pula, perkara ini berlaku di kedai makan. Selain itu juga, pelajar yang ketawa dengan kuat itu ialah seorang pelajar perempuan. Walaupun isu yang dibualkan sangat lucu, seseorang itu perlu melihat keadaan sekeliling sebelum melakukan sesuatu. Hal ini adalah kerana, ketawa dengan kuat apabila berhadapan dengan makanan adalah tidak elok. Mengikut kata orang yang telah berusia, rezeki boleh lari. Perkara sebegini juga secara tidak langsung akan memalukan diri pelajar itu sendiri.