create your own banner at mybannermaker.com!

Friday, 18 March 2011

SATU EJAAN TAPI BANYAK MAKNANYA

dok rok cetong la mung ni......

Ayat di atas sering kali diucapkan oleh masyarakat yang tinggal di Terengganu. Malahan, perkataan rok hanya boleh difahami oleh masyarakat yang tinggal di Pantai Timur sahaja. Dok rok dikenali di Terengganu dengan maksud  tidak gagah ataupun tidak boleh diharap. Dok ialah sama dengan tidak. Yang ingin saya tekankan di sini ialah perkataan rok. Saya telah merujuk Kamus Dewan bagi mendapatkan makna sebenar perkataan ini.

Mengikut Kamus Dewan, rok memberi maksud kepada empat perkara. Hal ini jelas menunjukkan bahawa perkataan ini bukan hanya digunakan di Terengganu tetapi perkataan ini tidak diguna pakai oleh masyarakat di negeri lain. Perkara ini berlaku mugkin disebabkan mereka tidak biasa menggunakan perkataan ini. Padahal perkataan ini mempunyai banyak makna. Antara maknanya ialah :

1)  Muzik yang mempunyai rentak yang kuat.
2)  Baju perempuan mengikut gaya barat seperti gaun.
3)  Belukar.
4)  Larat atau upaya.

BAHASA MELAYU DAN JATI DIRI GENERASI MUDA

Dewasa ini, golongan remaja lebih suka mendengar lagu bebrbahasa Inggeris yang dinyanyikan Lady Gaga berbanding dengan lagu-lagu berbahasa Melayu. Contoh terdekat ialah rakan sebilik saya. Hampir setiap hari dia mendengar lagu-lagu Inggeris.
Saya : Oit, ko tak boring ke hr2 duk dngar lagu orang puteh?
Kawan : Ish ko ni, lagu ni la best…lagu melayu ketinggalan zaman la, ni dah masuk zaman teknologi laa…
Inilah salah satu contoh bahawa masyarakat Melayu kita khususnya golongan remaja telah menganggap penggunaan bahas Inggeris sangat penting dalam dunia tanpa sempadan yang dilengkapi dengan kemajuan teknologi yang pesat. Hal ini sebenarnya tidak melambangkan mereka sebagai orang Malaysia terutamanya berketurunan Melayu. Sepatutnya kita sebagai golongan remaja perlulah sedar akan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita. Sekiranya terdapat ramai individu yang bersikap seperti ini, kemungkinan suatu hari nanti bahasa Melayu tidak akan digunakan lagi.

ISTERI, BINI ATAU ORANG RUMAH

Si A: Miro, lamo kawe tak tngok mu….nikoh doh ko?
Si B: aku dah lama kawen, isteri aku tengah pregnant sekarang ni.
Si A : owh…hebat orang rumoh mu…tahniah,
Perbualan tersebut sempat saya dengar ketika sedang menunggu bas untuk balik ke Johor. Pada waktu itu, saya dan Zubaida sedang duduk di ruangan menunggu. Hakikatnya, inilah kali pertama saya mendengar perkataan orang rumah. Pada hari ini juga saya mengetahui satu perkataan baru itu di negeri Kelantan, isteri dipanggil sebagai orang rumah. Manakala di Terengganu pula isteri dipanggil sebagai bini. Itulah maklumat yang saya perolehi daripada Zubaida. Contoh :

Panggilan untuk isteri
Negeri
Panggilan
Kelantan
Orang rumah
Johor
Isteri
Terengganu
Bini


Thursday, 17 March 2011

HARI KEKASIH

Pada setiap 14 Februari, ramai di antara kita yang menyambut Hari Kekasih. Malah budaya ini telah sebati dalam kalangan masyarakat kita khasnya golongan remaja. Perayaan ini disambut dengan gembira bagi pasangan yang sedang hangat bercinta tanpa mengetahui tentang sejarah hitam di sebaliknya. Valentine Day adalah suatu perayaan yang berdasarkan kepada pesta jamuan ‘supercalis‘ bangsa Romawi kuno di mana setelah mereka masuk Agama Nasrani (kristian), maka berubah menjadi acara keagamaan yang dikaitkan dengan kematian St. Valentine.

Orang-orang Kristian menganggap bahawa Valentine merupakan seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Dia disamakan dengan Jesus yang kononnya mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Valentine bagi penganut agama Kristian adalah lambang kasih sayang sejati diantara seorang hamba dengan tuhannya dan sesama manusia. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertulis From your Valentine.
Sejarah asal Hari Kekasih sudah jelas menunjukkan bahawa ia tidak sesuai untuk disambut oleh masyarakat Melayu kita khususnya yang beragama Islam. Namun begitu, dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini tanpa segan silu menyambut Hari Kekasih. Sedangkan sambutan ini tidak sepatutnya diraikan walaupun dengan insan yang tersayang. Keghairahan golongan remaja menyambut Hari Kekasih ini perlulah dikawal supaya mereka tidak terus hanyut. Tambahan pula, sambutan ini bertentangan dengan budaya Melayu. Oleh itu, kita hendaklah menjauhkan diri daripada sambutan-sambutan seperti ini.


GERAK

Saya telah berjanji dengan Aida untuk ke kampus pada petang semalam. Sewaktu ke rumahnya, saya singgah sebentar di biliknya sementara menunggu dia untuk bersiap. Tidak lama selepas itu, saya mendengar dia menjerit ‘jah, gerak’. Saya terasa pelik apabila dia menyuruh saya gerak. Lalu saya pun bertanya, “ko suruh aku kejutkan siapa?”.
Saya keluar dari biliknya sambil mengajukan soalan tersebut. Rupa-rupanya dia maksudkan gerak iaitu mulakan perjalanan. Jika di tempat saya, perkataan gerak merujuk kepada mengejutkan seseorang daripada tidur. Di sini, saya telah mempelajari satu perkara baharu iaitu perbezaan penggunaan gerak bagi negeri Johor dan Terengganu.

KEPERCAYAAN MASYARAKAT MELAYU

Situasi seterusnya berlaku di rumah saya sendiri iaitu di Terengganu. Kejadian ini terjadi kepada adik perempuan saya iaitu Faiziah. Setiap hari, kami akan membantu emak memasak di dapur. Oleh kerana adik saya ini suka menyanyi maka dia akan menyanyi tidak kira di mana-mana tempat termasuklah di dapur. Suatu hari, Faiziah menyanyi di dapur dan telah ditegur oleh emak. Kata emak, “seseorang anak gadis yang suka bersiul dan menyanyi di dapur dikatakan akan mendapat suami tua”. Faiziah terus senyap apabila ditegur sedemikian oleh emak.

Jika kepercayaan ini dianggap benar maka adalah tidak mustahil setiap golongan perempuan yang masih belum berkahwin tidak akan sesekali menyanyi di dapur. Hal ini adalah kerana, anak gadis tentunya tidak mahu bersuami dengan seorang lelaki yang tua. Situasi seperti ini menunjukkan bahawa bangsa Melayu dahulu banyak meninggalkan kepercayaan yang mana mengandungi pelbagai pantang larang, tunjuk ajar yang halus dan nasihat yang berguna kepada anak cucunya yang masih mentah dalam kehidupan harian mereka. Oleh itu, setiap kepercayaan yang diamalkan sebenarnya mempunyai tujuannya yang tersendiri.

PENGARUH FILEM

Antara cerita yang meninggalkan kesan kepada kebanyakan penonton ialah cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah. Cerita ini mempunyai pengaruh yang kuat kepada sesiapa sahaja yang pernah menontonnya. Hal ini adalah kerana, saya sendiri pernah berada dalam situasi tersebut. Boleh dilkatakan hampir setiap hari ada sahaja ayat- ayat daripada cerita ini diungkapkan oleh individu di sekeliling saya. Malah, sebut sahaja Kak Limah, pasti ramai yang mengetahui tentang cerita ini yang dikeluarkan pada tahun 2010. Cerita ini merupakan sambungan daripada cerita zombie Kampung Pisang. Latar belakang cerita yang sangat lawak mungkin menjadi salah satu faktor sesetengah ayat dalam filem ini menjadi ikutan. Contoh ayat tersebut ialah :
       Ce citer…ce citer…ce citer
       Kita bakar je ( dalam dialek perak )
Kejadian ini menunjukkan bahawa pengaruh filem begitu kuat dalam masyarakat kita. Contoh yang terdekat ialah seperti di atas. Sejak cerita ini dikeluarkan, ayat-ayat di atas telah menjadi satu trend (gaya) terutamanya kepada golongan remaja dan kanak-kanak. Oleh itu, penerbit-penerbit filem perlulah memastikan setiap cerita yang hendak diterbitkan mesti ditapis terlebih dahulu. Hal ini adalah kerana, sekiranya cerita tersebut mengandungi unsur-unsur yang tidak baik dikhuatiri akan menjadi ikutan dalam kalangan masyarakat kita.

AYAT PERMINTAAN

Semua orang pernah meminta pertolongan. Malah, adalah sangat mustahil sekiranya seseorang itu tidak pernah meminta pertolongan. Namun, tidak semua orang yang meminta pertolongan dengan cara yang baik. Sewaktu saya melalui sebuah kelas di Proton City pada hari ini, saya telah terdengar satu tengkingan yang agak kuat sehingga dapat didengar sehingga ke luar kelas. Pada ketika itu, saya sempat menjeling ke arah kelas tersebut dan ternampak seorang perempuan sedang berdiri dengan wajak seperti seseorang sedang marah. Jeritan tersebut bebrbunyi :

    Tolong jangan bising.
    korang ni x pandai nak duk diam-diam ke ek?
    memekak je dr td...kn da ckap Dr. suh buat kerja kumpulan...
    buatla dgn tangan bukannya dgn mulut....

Dalam situasi di atas, pelajar perempuan tersebut meminta pertolongan daripada rakan kelasnya yang lain supaya diam dan melakukan kerja yang telah diamanahkan. Namun, mungkin disebabkan kedaan kelas yang tidak terkawal lalu terjadilah peristiwa tersebut. Ayat permintaan digunakan oleh penutur untuk meminta orang kedua atau lebih melakukan sesuatu untuk kita. Antara ayat permintaan ialah tolong, mohon dan minta. Selain itu, kata perintah juga boleh disertai dengan partikel -lah bagi menghaluskan perintah. Contoh :
   
      Tolonglah panggil orang itu.
      Tolong panggil orang itu.

Namun dalam contoh di atas iaitu situasi yang berlaku dalam kelas tersebut,   ayat permintaan yang digunakan adalah tidak gramatis. Hal ini adalah kerana, ayat permintaan tidak boleh menerima kata larangan jangan. di samping itu juga, bentuk-bentuk ayat permintaan biasanya tidak membawa pengertian yang negatif. Justeru itu, ayat yang digunakan oleh pelajar perempuan tersebut adalah tidak gramatis.

PENGGUNAAN 'G'

Setiap negeri mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Selain itu, penggunaan huruf G pada akhir perkataan  akan membezakan negeri ini dari negeri yang lain. Penduduk Terengganu tidak dapat elakkan diri daripada menyebut huruf ini yang sudah menjadi kebiasaan mereka sejak dahulu lagi. Sebutan huruf ini menyebabkan kita dapat meneka seseorang itu berasal daripada Terengganu. Contoh dapat dilihat melalui lirik lagu Iklim Blues Terengganu Kita.

      
Hoy hoy hoy
bangun ke laut eeh…
takat ikang di Kuala Kemamang
Petang-petang wat kerpok gete
Ramai orang, atah gere

Main dam dua tiga papang
Dok sedor sampai ke malang
Kedai payang jual budu belacang
Batek tembaga dan macang-macang

Contoh di atas dapat dilihat beberapa patah perkataan yang ditambah huruf G di belakangnya. Setiap negeri mempunyai gaya bercakap yang tersendiri. Malah mungkin cara ini merupakan 'gaya orang Terengganu' dalam aspek percakapan.


SALAH SIAPA?

“Masyarakat kita pada hari ini memandang ringan sebutan sebenar dalam bahasa Melayu. Perkara sebegini berlaku disebabkan tiada pihak yang menegur apabila berlaku kesilapan. Sebagai contohnya di sekolah”. Kata Prof. Abdullah Hassan dalam kelas karya agung pada hari ini. “ Di sekolah pada hari ini, tiada seorang pun guru yang sanggup menegur para pelajarnya yang melakukan kesilapan apabila menyebut perkataan dengan tidak tepat”. Oleh itu, kesilapan sebegini akan berlanjutan sehingga sebutan sebenar seperti tidak wujud. Menurut Prof. lagi, bukannya mahu para pelajar ini berbahasa baku tetapi menggunakan bahasa sekolah.
Apabila berada di sekolah, kita hendaklah menggunakan bahasa sekolah. Antara yang sering diabaikan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini ialah sebutan bagi beberapa huruf yang tidak berbunyi. Contohnya :

Huruf
Sebutan biasa
Sebutan sebenar
R
Semina
Seminar


Sebutan bagi huruf R sering kali disenyapkan. Bagi perkataan seminar, sebutan yang biasa disebut ialah seminar iaitu huruf R di belakangnya tidak berbunyi seperti sepatutnya iaitu bergetar.

PENGARUH BAHASA ASING

Pada hari ini, salah seorang daripada kawan saya (Aminah) telah ditegur oleh seorang pensyarah A. Jika sebelum ini kami tidak perasan bahawa panggilan yang digunakan sebelum ini adalah salah. Antara kesalahan yang telah kawan saya lakukan ialah menyebut Abdullah Munsyi. Si A telah menasihati Aminah supaya jangan terlalu mengikut pengaruh bahasa asing. Menurut beliau, Munsyi ialah guru dan apabila ia dipanggil sebagai Abdullah Munsyi bermakna ia akan membawa maksud Abdullah guru. Selain itu juga, panggilan tersebut sebenarnya berasal daripada bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, perkataan yang sebenar ialah Munsyi Abdullah.
Pada hari ini, negara kita banyak dipengaruhi oleh bahasa asing. Hal ini termasuklah dari aspek komunikasi, pakaian, budaya, makanan dan sebagainya. Jika perkara ini tidak dibendung dari sekarang maka kemungkinan suatu hari nanti nilai-nilai sebenar masyarakat Melayu akan terhapus. Sebagai contoh, masyarakat kita pada hari ini selalu menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian. Malah, ada di antara masyarakat Melayu yang tidak tahu bagaimana bertutur dalam bahasa ibunda sendiri. Perkara sebegini sangat memalukan sebagai masyarakat Melayu yang tinggal di negeri Melayu. Oleh itu, perkara sebegini hendaklah dipelajari sejak dari kecil lagi supaya suatu hari nanti golongan muda ini tidak terpengaruh dengan bahasa asing lain.

KEPELBAGAIAN DIALEK

Malaysia terbahagi kepada empat belas buah negeri seperti Terengganu, Perak, Kelantan dan banyak lagi. Kepelbagaian negeri ini telah mewujudkan pelbagai dialek mengikut tempat tinggal masing-masing. Sepanjang belajar di UPSI, saya telah menemui ramai pelajar dari negeri lain yang bertutur mengikut dialek negeri mereka sendiri. Peristiwa ini membolehkan saya memperolehi banyak pengetahuan tentang dialek negeri-negeri lain. Malah, saya dapat mempelajari dialek ini daripada rakan-rakan lain yang berasal dari negeri Perlis, Kelantan dan Terengganu. Antara contoh kata nama yang sempat saya pelajari daripada mereka ialah:

Bahasa baku
Perlis
Kelantan
Terengganu
Air
Ayaq
Aiey
Ayer
Orang
Oghang
Oghe
Oghang
Kereta
Kegheta
Kreto
Kete
Kertas
Keghetas
Keghetas
Kettah
Khabar
Habaq
Kaba
Kabo
Bandar
Bandaq
Banda
Bando
Rumah
Ghumah
Ghumah
Rumoh
Kubur
Kubuq
Kubor
Kubo


Dialek bermaksud satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat, daerah, negeri dan lain-lain. Dialek mempunyai bentuk tertentu, dituturkan dalam kawasan tertentu dan berbeza daripada bentuk yang standard dari segi sebutan, tatabahasa, dan penggunaan kata-kata tertentu, tetapi perbezaannya tidaklah begitu besar untuk dianggap sebagai satu bahasa yang. Dialek ini dianggap sebagai variasi bahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu itu sendiri. Kebiasaannya, masyarakat penutur yang mempunyai dialek tersendiri seperti di Perlis, Kelantan, Terengganu dan sebagainya akan menggunakan bahasa dialek mereka dalam perbualan seharian. Dialek yang wujud dalam kalangan masyarakat Melayu ini wujud disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah  persekitaran, geografi, pengaruh ibu bapa, masalah fizikal, politik, penjajahan dan sebagainya.

Wednesday, 16 March 2011

UNSUR LEWAH


Sekumpulan pelajar sedang mengadakan perbincangan di kantin KHAR. Pada masa waktu itu, saya sedang menunggu seorang kawan sebelum membeli makanan untuk makan malam. Kumpulan pelajar membuat perbincanagn di kawasan terbuka secara tidak langsung sesiapa yang turut berada di situ akan mendengari perbualan perbualan mereka. Salah seorang pendengarnya ialah saya sendiri. Saya tidak dapat lupakan apabila salah seorang daripada pelajar tersebut menyebut ayat :
            Pelajar 1 : kita guna bahasa BI la, baru nampak gempak…
Penggunaan perkataan bahasa BI dalam ayat di atas jelas menunjukkan satu kesilapan. Hal ini adalah kerana, BI ialah singkatan bagi bahasa Inggeris. Oleh itu, dalam ayat di atas telah berlaku unsur lewah. Unsur lewah ialah penggunaan dua perkara yang sama. Sebagai contohnya ialah :
Bahasa BI
Bahasa bahasa Inggeris



MANUSIA VS BINATANG

Situasi ini berlaku dalam bas ketika saya dan rakan yang lain ingin ke kelas di Taman Bernam. Semasa saya duduk dalam bas, terdengar perbualan dari arah hadapan. Rupa-rupanya perbualan dua orang penumpang lain yang duduk di hadapan saya. Antara perbualannya yang sempat saya dengar ialah :
Penumpang A : ko tau x, semalam aku p kedai..
  pastu ak terserempak dengan sorang betina ni…
Penumpang B : sapa lak yang ko jumpa? Betina mana lak ni?
Penumpang A : ala…betina yang ganggu pakwe aku tuu..muka dahla x cantik, ada hati nak rampas pakwe aku…
Perbualan yang berlaku itu membuatkan saya tersentak seketika. Pada hari ini, rupa-rupanya masih ada individu yang menggunakan perkataan yang sedemikian. Pendapat  saya, kata ganti nama yang digunakan tersebut agak kasar. Malah, perempuan yang dimaksudkan itu tidak wajar dipanggil atau dibahasakan dengan perkataan betina. Perempuan tersebut bukan sahaja dipanggil sedemikian tetapi juga dituduh oleh penumpang A. Selain itu, penggunaan panggilan binatang adalah tidak sesuai kerana ia digunakan untuk binatang. Sekiranya perkataan ini digunakan juga untuk merujuk kepada seseorang manusia maknanya manusia juga boleh diertikan seperti binatang. kata panggilan yang sepatutnya digunakan untuk merujuk perempuan yang dituduh tersebut adalah seperti wanita atau perempuan. Perkataan ini bukan sahaja sesuai malah ia menunjukkan kelembutan sesuai dengan sifat seorang wanita.

SINAR FM

Setiap hari saya tidak akan melepaskan peluang untuk mendengar saluran radio sinar fm. Saluran ini telah menjadi saluran kegemaran saya sejak dahulu lagi. Lagu-lagu yang diputarkan begitu mengasyikkan dan lagu-lagunya pula terdiri daripada lagu sekitar tahun 90-an. Manakala celoteh-celoteh daripada hosnya pula sangat lawak dan bersahaja. Pada pagi semalam, hosnya yang terdiri daripada Kak Engku dan Salleh Yakkub telah mengeluarkan satu ayat yang membuatkan saya terfikir untuk masukkan dalam blog.
            Salleh : lain lak ak rasa ko hari ni…
            Kak Engku : lain apa plak ko ni? Ko x mandi ke…hahaha
            Salleh : ish ko ni, aku mandi laa…wangi tau x?
            Kak Engku : dah tuuu…apa kena ngan ko ni Wak (panggilan untuk Salleh)
            Salleh : ko cun giler hari ni…hahaha
Ayat yang ingin saya bincangkan dalam situasi di atas ialah ayat ‘cun giler’. Ayat ini sering kali diucapkan oleh masyarakat kita terutamanya golongan remaja. Antara ayat lain yang sering diucapkan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini adalah seperti :


Kata adjektif
Darjah penghabisan
Maksud
Best (sedap)
Giler
Sangat sedap
lapar
Giler
Sangat lapar
Berat
Giler
Sangat berat


Jika penggunaan giler ini diperhatikan, ia seperti menunjukkan darjah penghabisan. Contoh cun giler. Ayat ini menunjukkan seseorang yang sangat cantik dan tidak dapat dihuraikan betapa cantiknya seseorang itu. Darjah penghabisan sebenarnya berlaku pada kata adjektif. Menurut Kamus Dewan, penggunaan kata adjektif  dalam ungkapan darjah penghabisan dapat dilakukan mengikut 4 kaedah. Contoh dapat dilihat dengan menggunakan perkataan cun (cantik) .

Kaedah
Ayat
Se- + kata adjektif + gandaan + kata nama
Secantik-cantik perempuan
Ter- + kata adjektif
Tercantik
Paling + kata adjektif
Paling cantik
Kata adjektif + sekali
Cantik sekali

             
Oleh itu, adalah tidak mustahil suatu hari nanti perkataan giler boleh dijadikan sebagai perkataan yang menunjukkan darjah penghabisan.

Sunday, 13 March 2011

MAKNA BERLAINAN


Ayat seperti di atas  bermaksud kamisah ialah sebuah kedai mamak. Untuk menunjukkan bahawa kedai mamak itu kepunyaan Kamisah sepatutnya ia ditulis seperti kedai mamak Kamisah. Ayat seperti inilah yang membawa maksud bahawa kedai tersebut kepunyaan Kamisah.

KEUNIKAN BAHASA MELAYU

Bahasa Melayu sangat unik kerana ia merupakan bahasa yang tersendiri dan telah dikenali di seluruh dunia. Bahasa ini pernah suatu masa dahulu dikenali sebagai bahasa Lingua Franca. Walaupun bahasa Melayu telah wujud sejak zaman dahulu namun penggunaan perkataannya tidak ketinggalan malah mengalami perubahan dari semasa ke semasa mengikut arus perkembangan negara. Perubahan ini membuktikan bahawa bahasa Melayu bergerak seiring dengan kemajuan negara dan tidak bersifat kolot. Selain itu juga, perkataan ini diubah disebabkan beberapa faktor lain. Sebagai contoh, banyak perkataan yang diubah mengikut kesesuaian semasa. Antaranya ialah:


Ejaan dahulu - SA-PULUH
Ejaan sekarang - SEPULUH

Contoh perkataan lain ialah :

Ejaan lama
Ejaan baru
Khanduri
Kenduri
Petenah
Fitnah
Lafal
Lafaz
Balek
Balik
Keritik
Kritik
Sekerip
Skrip
Khaid
Haid
Pesaka
Pusaka